BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
ASSALAMUALAIKUM WBT
Mungkin aku tak mampu nak luahkan perasaan aku dengan tulisan. Or mungkin aku dah kehilangan skil nak tulis apa yang ada dalam hati aku ni. Well, ditakdirkan, tadi aku godek-godek cerpen yang ada dalam simpanan. Nak cakap macam mana ye? Kadang-kadang aku rasa macam apa yang berlaku dekat aku, sama macam apa yang aku tulis dalam cerpen. Tapi taklah exactly seratus peratus. It's just, lebih kuranglah. So yang ada masa lebih sikit tu, if you mind to know what I feel...
p/s: this is not the whole cerpen. just part of it. kalau tak faham, buat-buat faham jelah.
p/s: this is not the whole cerpen. just part of it. kalau tak faham, buat-buat faham jelah.
T-shirt besar itu dikeluarkan daripada
beg pakaian. Adrianna duduk dihujung katil membelek t-shirt itu
berkali-kali. Dia tahan air mata sedaya upaya. Dia jeling telefon bimbit di
sisi. Masih senyap seperti beberapa minggu yang lalu. Masih tiada balasan
khabar berita mahupun panggilan daripada lelaki itu. Rindu? Ah, tak mungkin
semudah itu. Dia nafikan perasaannya lagi. Dia campak baju t-shirt itu ke dalam
beg pakaiannya kembali.
“Am apa cerita? Lama tak dengar kau
bukak mulut pasal dia?” Hanis muncul di belakangnya. Entah bila gadis itu
keluar dari bilik air, Adrianna tidak pasti. Dia melihat gadis itu mengelap
rambutnya dengan tuala kecil sebelum mengambil tempat di atas katil. Duduk
bersila bertentangan dengannya. Adrianna mengelipkan mata. Cuba mengusir air
jernih yang terasa bergenang.
“Am? Entah dia. Dah lama kitorang tak contact. Dia sibuk kot.” ujar Adrianna.
Dia renyukkan t-shirt milik Adam yang masih berada dalam simpanannya sejak
peristiwa dia pengsan akibat berhujan dahulu ke dalam begnya. Dia renyuk dalam-dalam.
“Sibuk? Takkanlah sampai tak contact langsung. Majlis akad nikah hari
tu rasanya tak nampak muka dia? Takkan wedding
reception ni pun dia tak datang jugak?” Hanis menyoal pelik. Dia bangun
mencapai pelembab wajah di atas meja solek bilik itu. Bilik hotel yang dihuni
bersama Adrianna.
Seminggu selepas majlis akad nikah di
rumah Zaraa, hari ini, majlis resepsi di sebelah pihak lelaki pula diadakan.
Dewan Hotel The Everly berhampiran pusat membeli-belah Alamanda, menjadi lokasi
pilihan. Kali ini Hanis berehat sakan. Dia tidak lagi perlu bertungkus-lumus
menyediakan persiapan kek atau sebagainya. Hanya datang berdandan dan
makan-makan. Hanis pandang Adrianna yang masih belum bersiap. Gadis itu angkat
bahu sebagai jawapan kepada soalannya tadi.
“Tak tahulah, Hanis.” Adrianna mengeluh
perlahan. Kali ini dia bangun mencapai tualanya sebelum berlalu ke bilik air.
Dia ingin menyembunyikan pedih hati dan tangisnya daripada gadis itu. Dia tidak
mahu Hanis tahu.
“Nak aku tolong contact dia tak?” soalan Hanis mematikan langkah Adrianna. Soalan
secara tiba-tiba itu membuatkan gadis itu menoleh. Bertaut keningnya memandang
Hanis.
“Tak payahlah, Hanis. Aku dah contact dia banyak kali. Dia memang
betul-betul busy agaknya.” ujar Adrianna
perlahan.
“Agaknya?” Hanis lontarkan soalan
kembali.
Adrianna diam kali ini. Dia pandang
wajah Hanis. Tujahan mata itu membuatkan dia serba-salah dan panik tak
pasal-pasal. Malas mahu terus melayan perasaan, dia cepat-cepat mendapatkan
Hanis yang masih bertenggek di atas katil. Dia tersengih-sengih memandang gadis
itu.
“Ewah ewah, seronok kau soal siasat aku
eh? Yang kau dengan Farizal tu apa cerita? Bukan main rapat aku tengok semenjak
dua menjak ni.” Adrianna pantas menukar topik. Dia tidak mahu kalah. Takkan
mahu biarkan Hanis mengesan perasaannya?
“Farizal? Hmm, biasa je. Kenapa? Kau
ada nampak apa-apa yang luar biasa ke antara kitorang?” Hanis memulangkan
soalan tanpa rasa bersalah. Riak wajahnya terlalu biasa hingga sukar hendak
diteka. Adrianna berfikir sejenak. Entah. Apa yang luar biasanya ya? Dia
sendiri tidak pasti. Mungkin kerana jarang melihat Hanis rapat dengan mana-mana
lelaki, disebabkan itulah dia sering sahaja salah faham jika melihat gadis itu
rapat dengan seseorang.
“Tak adalah. Aku risaukan kau.
Takut-takut kalau kau masih frust
dengan Yusuf. Manalah tahu kalau kau dengan Farizal ada progression apa-apa. Aku tengok kau dengan dia boleh tahan
cocoknya.” ujar Adrianna tidak teragak-agak. Tidak bertapis dia suarakan
pendapat. Dia pandang wajah Hanis. Gadis itu masih berlagak biasa. Hanis
tersengih. Dia faham apa yang cuba disampaikan oleh Adrianna. Bahkan dia juga
sedang cuba membongkar rahsia hati gadis itu. Masing-masing jalankan misi
sendiri.
“Cocok apa bendanya? Aku cucuk kau kang
tahulah. Aku dengan Farizal tu baru kenal berapa minggu je. Kalau tak
disebabkan sama-sama in charge wedding
cake si Zaraa, memang taklah.” ujar Hanis terus-terang. Adrianna
tersengih-sengih sengaja buat orang sakit hati.
“Yeke? Habis tu Yusuf?” soal Adrianna
lagi.
“Sama jugak. Aku ok je. Biasalah, aku
pun manusia biasa, Anna. Aku tak nafikan, sedih dan frust tu kadang-kadang datang juga bila aku teringatkan dia. Tapi
aku redah je. Cuma jangan terlampau layankan sangat. Kadang-kadang, benda macam
ni boleh jadi mainan syaitan. Saja buat kita lalai daripada ingat Tuhan.” Hanis
bersuara lembut. Tak pasal-pasal bagi ceramah berkenaan hati dan perasaaan pula
dia di situ. Tisu wajah dicapai lalu menepek-nepekkan cecair pelembap itu ke mukanya.
Adrianna hanya memerhati lalu terangguk-angguk sendiri. Dia diam lagi.
“Kalau kau sendiri dah cakap macam
tu...” Adrianna kembali bangun dan berura-ura hendak kembali ke bilik air. Dia
terkenangkan Adam. Perasaannya kepada lelaki itu lain macam dia rasakan. Adakah
perasaan yang sedang dia alami itu biasa-biasa sahaja sama seperti perasaan
Hanis kepada Farizal? Atau mungkin kadang-kadang perasaan itu perasaan sayang
seperti perasaan Hanis kepada Yusuf?
“Hah, tu nak pergi mana pulak? Aku tak
habis soal siasat kau lagi ni.” Hanis sengaja memanggil Adrianna. Dia tahu
gadis itu belum mahu membuka mulut kepadanya, namun dia diamkan sahaja. Manalah
tahu, nanti-nanti anginnya baik pula hendak buat sesi heart-to-heart.
“Nak mandilah. Kang siap lambat kau
jugak jadi tukang pot-pet.” selamba gadis itu menjawab padahal dia hendak
mengelat sebenarnya. Dia melangkah masuk ke dalam bilik air, namun sekali lagi
langkahnya mati apabila mendengar Hanis melaung namanya kuat.
“Am telefon.” ujar Hanis mengangkat
tinggi peranti bewarna hitam itu sebaik kepala Adrianna muncul di muka pintu
bilik air. Kelam-kabut gadis itu keluar mendapatkannya.
“Seriously? Bak sini handphone aku.” Adrianna
mencapai telefon bimbitnya dengan rakus lalu membelek-belek skrin. Dia melihat
log panggilan. Tiada pula nama Adam tertera. Dia pandang wajah Hanis. Gadis
kecil molek itu tersenyum-senyum.
“Hanis...” Adrianna merengek hampir
menangis.
“You
love him, don’t you?” soal Hanis perlahan.
Adrianna kehilangan kata. Dia tahu, dia
tidak boleh berselindung lagi. Memang dia benar-benar rasa kehilangan dan
merindui lelaki itu. Akhirnya dia mengangguk. Dia peluk tubuh Hanis lalu
melepaskan tangisan semahu-mahunya. Hanis tersenyum. Dia usap belakang gadis
itu membiarkan sahaja Adrianna meluahkan segala perasaan yang terbuku dan
terpendam dalam kalbu.
No comments:
Post a Comment